Soalan Lazim

Apakah pengertian Wakaf?

Bahasa:

Terhenti, tertahan, terhalang

Istilah/Syarak:

Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak Pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan Jual Beli, Pewarisan, Hibah dan Wasiat disamping mengekalkan sumber fizikalnya untuk kebajikan dengan niat mendekatkan diri Pewakaf kepada Allah S.W.T.


Apakah Rukun Wakaf?

Terbahagi kepada empat iaitu:

  • Pewakaf (Wakif)
  • Harta yang diwakafkan (Mawquf)
  • Penerima Wakaf (Mawquf A’laih)
  • Penyataan Wakaf (Sighah)

Apakah jenis wakaf?

Terbahagi kepada dua kategori utama:

  1. Wakaf Dzumi (Keturunan)
  2. Wakaf Khairi (Kebajikan)

 

Dimana pecahannya terbahagi kepada dua:

  1. Wakaf Am
  2. Wakaf Khas

Apakah yang mendorong Yayasan ABADA berkaitan Wakaf?

Penubuhan Yayasan ABADA berkaitan Wakaf secara hakiki adalah berdasarkan keperluan Entiti Wakaf bagi menguruskan Hal Ehwal Wakaf untuk Dana Pendidikan dan Kebajikan Institusi Pendidikan Islam, Al-Quran, Hadith, dan Bahasa Arab tahap pengajian I’dadi, Thanawi dan A’liah sistem pelajaran Nizhomi dan Umumi, Kitab-kitab Ulama’ Muktabar yang Ahli pada Babnya berada atas Aliran Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah menjadi Institusi naungan Ummah rakyat Malaysia selain bagi memantapkan lagi pengurusan Wakaf dalam Negara.


Apakah Faedah Wakaf?

Wakaf adalah satu bentuk transaksi harta yang dapat memberi faedah dan manfaat kepada diri Pewakaf, Penerimanya, Masyarakat Islam Seluruhnya Dan Kerajaan dalam hubungan ini Pewakaf memperolehi (Pahala) Sedekah Jariah berterusan, penerimanya dan masyarakat dapat menikmati manfaat harta yang diwakafkan. Kerajaan dapat meringankan bebanan bantuan memenuhi keperluan Prasarana Pendidikan, Penyebaran dan Perkembangan Islam.


Apakah pandangan Syariah tentang Wakaf?

Hukum Wakaf adalah sunat menurut Jumhur Fuqaha’ adalah satu amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Ia merupakan Sedekah Jariah berterusan pahalanya sangat besar di sisi Allah S.W.T, Wakaf merupakan tuntutan Al-Quran, Sunnah dan amalan para sahabat Baginda Rasulullah S.A.W.


Falsafah Wakaf

  • Untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T
  • Untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T
  • Untuk menghapuskan sifat bakhil
  • Untuk mendapatkan harta berterusan
  • Untuk memberi kebaikan kepada Ummah
  • Untuk Pembangunan Institusi Pendidikan, Penyebaran dan Perkembangan Islam
  • Untuk Pembangunan pembasmi kesusahan orang-orang miskin
  • Untuk membantu keperluan anak-anak yatim
  • Untuk menjamin harta itu berkekalan dalam kebajikan

Dari mana Dana Wakaf diperolehi dan tempat Dana Wakaf disalurkan?

Sumber Dana wakaf diperolehi melalui kutipan Wakaf Tunai Tabung Dana Pendidikan dan Kebajikan Yayasan ABADA, iaitu skim Wakaf Tunai yang dikendalikan sendiri oleh Yayasan ABADA dan tempat Dana Wakaf disalurkan dalam satu Tabung Amanah kemudian ditukarkan kepada Asset kekal yang ditentukan manfaatnya berterusan secara berperingkat untuk membiayai Prasarana Pembangunan Kompleks Pendidikan Islam, Bahasa Arab dan Al-Quran Tahap Rendah, Menengah dan Tinggi Sistem Pengajian Nizhomi dam Umumi demi memenuhi keperluan Pendidikan dan Kebajikan masyarakat yang membawa maksud kepada Penyebaran dan Perkembangan Agama Islam kepada Institusi di bawah naungan Yayasan ABADA di dalam Negara Malaysia.


Adakah Wakaf Tunai mendapat potongan cukai dari LHDN?

Yayasan ABADA adalah sebuah Entiti Pusat Amal Jariah dan Wakaf Tabung Dana Pendidikan dan Kebajikan yang telah mendapat kelulusan dibawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) Rujukan: LHDN 01/35/42/51/179-6 7323 bertarikh 15 Mei 2014.


Apakah pandangan Ulama’ tentang Wakaf Tunai?

Hukum Wakaf tunai adalah harus (dibolehkan) Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 di Primula Beach Resort Kuala Terengganu berpendapat “Berwakaf dalam bentuk Wang Tunai adalah dibolehkan didalam Islam”.


Wakaf Tunai untuk siapa?

Untuk penerima Wakaf (Mawquf A’laih) Ahlan Li Al-Tamlik (pemegang Nazir Amanah Yayasan ABADA) tukarkan kepada Asset kekal yang ditentukan manfaatnya untuk memajukan Sosio-Ekonomi Ummah amnya dan wujudnya sifat berwakaf untuk mengeratkan ukhwah bantu-membantu sesama Islam memenuhi tuntutan Ibadah Wakaf.


Siapakah ahli Lembaga Nazir Pemegang Amanah Yayasan ABADA?

Seramai 8 orang tokoh terkemuka Islam yang berkelayakan memiliki Akhlak Nubuwwah dan Wilayah yang tinggi. Mereka terdiri daripada yang Berbahagia Pengerusi dan 2 orang wakil daripada Yayasan ABADA dan 5 orang wakil daripada pihak luar yang dipercayai mampu menjaga Amanah Allah S.W.T.


Apakah tindakan Yayasan ABADA untuk memastikan ketulusan dalam pengurusannya?

Yayasan ABADA telah menyerapkan satu sistem kutipan dan agihan yang boleh disemak oleh setiap Pewakaf, selain Yayasan ABADA turut menerbitkan Buletin berkala untuk aktiviti-aktiviti Yayasan ABADA bertujuan untuk memberi maklumat kepada Pewakaf dan Insya Allah Yayasan ABADA dalam usaha menyiapkan satu sistem kutipan dan agihan berkomputer yang boleh di akses terus oleh setiap Pewakaf.


Apakah langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil oleh Yayasan ABADA untuk mengelakkan berlakunya pecah amanah?

Yayasan ABADA mengamalkan Corporate Governance dan membentuk Juru Audit dalaman yang akan mengekang salah laku, disamping itu Yayasan ABADA turut diaudit oleh Juru Audit luar yang bertauliah dan setiap perbelanjaan dipantau sepenuhnya oleh Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ABADA.


Bolehkan Pewakaf memilih dan menentukan niat Wakaf Tunai untuk sesuatu Tujuan Khusus?

Setakat ini Wakaf Tunai yang dibolehkan (Harus) merupakan Wakaf Am, dimana Pewakaf mewakafkan Wang Tunai dan Yayasan ABADA menentukan agihan.


Sebagai sebuah Institusi Islam adakah Yayasan ABADA tertakluk kepada badan pengurusan Syariah?

Sudah semestinya Yayasan ABADA mempunyai Penasihat Syariah yang akan menentukan dari masa ke masa segala aktiviti dan perjalanan Yayasan ABADA agar selaras dengan kehendak Syariah.


Apakah kriteria yang diperlukan bagi penerima Dana Wakaf Yayasan ABADA?

Yayasan ABADA menggunapakai Rukun Wakaf iaitu Mawquf A’laih (Penerima Wakaf) penerima wakaf dalam konsep pengurusan Yayasan ABADA adalah Ummah, dimana Ummah atau masyarakat (samada Muslim atau bukan Muslim) akan menerima manfaat daripada projek dan aktiviti-aktiviti Yayasan ABADA. Walaubagaimanapun, Yayasan ABADA tetap mengutamakan Mawkuf A’laih yang lebih memerlukan diantara mereka.

Selain untuk Pembangunan Prasarana Kompleks Pendidikan Ilmuan Islam berasaskan Al-Quran, Hadith, Ijma’ dan Qias Ulama’ Muktabar di rantau ini yang memberi keutamaan kepada dakwah dan pemutihan Kedaulatan Kesultanan Alam Melayu dan hak ketuanan Bangsa Melayu tumpuan kepada keamanan kemerdekaan Wilayah Islam Melayu “Merdeka” untuk menerangi Alam Sejagat.


Apakah perancangan masa depan Yayasan ABADA bagi memperkasakan lagi institusi ini?

Yayasan ABADA akan memberi fokus utama kepada 7 teras didalam menguruskan hartanah Wakaf iaitu:

  • Keagamaan
  • Pendidikan
  • Kesihatan
  • Keselamatan
  • Pertahanan
  • Perlindungan
  • Penjagaan Makanan

Justeru itu, segala projek yang akan dijalankan oleh Yayasan ABADA akan bersandarkan kepada 7 teras seperti yang telah disebutkan.

Yayasan ABADA akan berperanan untuk memberi penumpuan kepada kesedaran masyarakat mengenai Hikmah berwakaf, kesedaran ini adalah amat penting bagi merealisasikan Wakaf sebagai Pemacu Sosio-Ekonomi Ummah, kerana tanpa kesedaran segala usaha memartabatkan Ibadah Wakaf tidak akan bermakna.